Jumaat, 13 Februari 2009

SEKOLAHKU RUMAHKU


SEJARAH SEKOLAH

Sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan Taiping telah bermula antara tahun 1870–1878. Pada mulanya sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Lelaki Melayu Taiping. Penubuhan sekolah ini adalah didorong oleh keinginan Masyarakat Melayu Taiping yang ingin meningkatkan taraf pendidikan anak-anak mereka, dunia dan akhirat. Pada mulanya sekolah yang ditubuhkan ini telah dibahagikan kepada sekolah lelaki dan sekolah perempuan.

Sekolah Lelaki Melayu Taiping telah ditubuhkan antara tahun 1870-1878 di Jalan Berek, yang mana bangunannya telah digunakan sebagai Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama sebelum ia berpindah ke bangunan yang baru sekarang. Pada tahun yang sama Sekolah Perempuan Melayu Taiping pula telah dibina berhampiran Masjid Lama Taiping. Kini bangunannya sudah runtuh.

Disebabkan bertambahnya bilangan murid-murid Melayu yang bersekolah di sini maka pada tahun 1926 murid-murid lelaki dari sekolah di Jalan Berek telah dipindahkan ke bangunan dua tingkat di Jalan Taming Sari. Dahulunya jalan ini dikenali sebagai Jalan Besar. Bangunan dua tingkat ini telah dibina pada tahun 1880 dan luasnya ialah 90 kaki x 25 kaki. Pada asalnya bangunan ini dijadikan sebagai Sekolah Tamil hingga ke tarikh perpindahan itu. Ini disebabkan berkurangannya bilangan murid India yang bersekolah. Bagi menampung keperluan tempat belajar yang lebih selesa maka pada tahun 1950 telah dibina sebuah bangunan Cawangan Satu berhampiran bangunan dua tingkat di Jalan Taming Sari. Pada tahun 1957 nama Sekolah Melayu Taiping ditukar kepada Sekolah Umum Lelaki Taiping.

Pada tahun 1958 bangunan cawangan dua pula didirikan berhampiran cawangan satu untuk keperluan tempat belajar bagi Sekolah Perempuan Melayu Taiping bagi darjah atas atau tahap 2. Kini bangunan Cawangan Dua telah dijadikan Sekolah Pendidikan Khas bagi murid-murid cacat pendengaran. Sekolah Lelaki dan Sekolah Perempuan telah disatukan pada tahun 1964, dan nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Taiping. Setelah mengalami peredaran masa, maka pada tahun 1981 bangunan tua dua tingkat di Jalan Taming Sari telah dirobohkan, untuk dibangunkan sebuah bangunan tiga tingkat bagi memenuhi keperluan masyarakat dan murid-murid yang semakin bertambah. Bangunan yang tersergam indah di Jalan Taming Sari ini telah siap pembinaannya dan boleh digunakan pada bulan Ogos 1982.

Pada tahun 2001 sebuah lagi bangunan baru empat tingkat dibina. Bangunan ini mengandungi 9 buah bilik darjah, sebuah bilik muzik, sebuah bilik komputer, sebuah bilik Pendidikan seni, sebuah bilik sains, sebuah bilik SPBT, sebuah bilik Kemahiran Hidup dan sebuah Dewan terbuka. Kos pembinaan bangunan ini adalah RM1.5 juta. Dengan terbinanya bangunan ini semua pelajar telah dapat dikumpulkan dalam satu sesi seperti yang telah dirancangkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada awal 2002, sekolah sekali lagi mendapat kurniaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebuah Makmal Komputer telah didirikan dengan kos pembinaannya ialah RM120 ribu. Makmal ini telah dapat merealisasikan impian masyarakat tentang celik IT dikalangan anak-anak yang merupakan aset penting kepada pembangunan Negara dan Wawasan 2020.

Setelah Makmal Komputer disiapkan, Sekolah Kebangsaan Taiping dijadikan salah sebuah sekolah Projek perluasan Pra-sekolah. Dua buah bilik darjah di blok B telah diubahsuai untuk Pendidikan Pra-sekolah. Bilik ini telah dapat menampung 50 orang pelajar pra-sekolah dan pembelajarannya bermula pada tahun 2003.

Dengan kemudahan fizikal yang sangat memberangsangkan ini diikuti pula dengan kemudahan untuk pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris tahap 1, warga sekolah S.K.Taiping yakin visi, misi dan matlamat sekolah akan dapat dicapai.

Kecemerlangan sistem pengurusan juga telah mendapat pengiktirafan dari SIRIM. Sekolah telah dianugerahkan sijil Sistem Pengurusan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran MS 180 9001:2000 pada tahun 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan